Oleh MOHD RAFIE AZIMI
“BERMAINLAH seperti berada di final dan berusahalah sehabis baik”.
Itu antara pesanan jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak sebaik tamat latihan terakhir bersama pasukannya sebelum Kedah memulakan kempen Piala Malaysia bertemu Pahang esok.
Menurut Aidil, beliau gembira dengan usaha ditunjukkan anak buahnya di mana para pemain tampak cukup bersungguh-sungguh bagi menentang skuad Tok Gajah di laman sendiri esok.
“Selepas kita terpaksa beraksi di luar Alor Setar dalam empat perlawanan terakhir Liga Super, memang sesuatu yang menggembirakan apabila kita akhirnya dapat kembali beraksi di Stadium Darul Aman.
“Namun, itu tidak bermakna kita akan memiliki kemenangan dengan mudah. Tiada alasan boleh diberikan untuk tidak memberikan aksi 100 peratus sekiranya mahu mara lebih jauh dalam Piala Malaysia musim ini,” katanya.
Sementara itu, Aidil mengakui betapa prestasi terbaik ditunjukkan dua penjaga golnya, Mohammad Azri Abdul Ghani dan serta Mohd Shahril Saari membuatkan dia berdepan sedikit ‘masalah’ untuk membuat pilihan mengenai siapa yang perlu diturunkan malam esok.
“Saya tak boleh dedahkan siapa yang akan diturunkan nanti. Apa yang boleh saya katakan, kedua-duanya memang bagus dan mendapat kepercayaan saya untuk memberikan aksi terbaik esok sekiranya diturunkan,” katanya.
Sementara itu tonggak import Kedah, Tchetche Kipre mengakui moral pasukan kini berada di tahap terbaik.
“Saya fikir kami cukup berusaha keras dalam tempoh dua minggu kebelakangan ini. Masing-masing tampak meletakkan pasukan di depan berbanding menyasarkan matlamat secara peribadi.
“Ini bukan sukan tenis sebaliknya bola sepak yang memerlukan kerja secara berpasukan. Tentang kontrak yang akan berakhir bulan depan pun belum saya fikirkan lagi kerana fokus 100 peratus tertumpu kepada usaha untuk mara sejauh mungkin dalam Piala Malaysia kali ini,” katanya.