fbpx

456 individu ingkar PKPP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail Sabri

Oleh SUBKHI SUDARJI

PUTRAJAYA – Seramai 456 individu ditahan atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dengan tangkapan paling tinggi membabitkan kegagalan memakai pelitup muka sebanyak 143.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kesalahan lain yang dikesan adalah penjarakan fizikal (137), gagal menyediakan peralatan serta merekod butiran diri (77), aktiviti pusat hiburan (28) dan lain-lain (71).

“Daripada jumlah itu, seramai 455 individu telah dikompaun dan satu lagi direman.

“Task Force akan terus mempertingkatkan pemeriksaan serta mengambil tindakan ke atas pemilik premis dan orang awam yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) PKPP yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan akhbar pelaksanaan PKPP hari ke-150 hari ini.

Katanya, seramai 25 pendatang asing tanpa izin (PATI), dua tekong dan sembilan kenderaan darat berjaya dirampas.

“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi-agensi penguat kuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, seramai 61,612 individu pulang ke tanah air dari 24 Julai hingga 5 November dan ditempatkan di 84 stesen kuarantin yang ditetapkan.

Daripada jumlah itu, seramai 9,312 individu menjalani proses kuarantin wajib manakala 384 lagi telah dihantar ke hospital manakala 51,916 individu telah di discaj dan dibenarkan pulang ke rumah.

Tambah beliau, sebanyak 42 operasi sanitasi meliputi tujuh zon merah, 13 buah negeri telah dibuat Jabatan Bomba dan Penyelamat.

“Sebanyak 11 operasi di Sarawak, Sabah (tujuh), Selangor (empat), Pulau Pinang (empat), Melaka (tiga) Johor (dua), Pahang (dua), Terengganu (dua), Kedah (dua) serta masing-masing satu di Negeri Sembilan, Perlis dan dan Wilayah Persekutuan Labuan,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI