PUTRAJAYA – Syarikat pengeluar peralatan storan digital terkemuka, Western Digital Sdn. Bhd. (Western Digital) menambah pelaburan berjumlah RM2.3 bilion bagi meningkatkan kemudahan dan kapasiti pengeluaran syarikat di negara ini.
Pengerusi Kumpulan Operasinya, Datuk Dr. Syed Hussian Aljunid berkata, cadangan penambahan pelaburan itu telah dipersetujui ketika pertemuan beliau dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di sini.
Menurutnya, pelaburan tambahan itu menjadikan nilai keseluruhan pelaburan Western Digital di Malaysia adalah berjumlah hampir RM18 bilion.
“Pelaburan baharu itu akan diperuntukkan untuk memperluaskan fasiliti dan kapasiti kilang di Western Digital Media Pulau Pinang dan Western Digital Sarawak.
“Nilai eksport syarikat itu dari Malaysia adalah berjumlah RM18 bilion pada 2019.
“Pelaburan tambahan ini akan memberi manfaat ekonomi kepada negara selain membuka peluang pekerjaan kepada lebih 2,000 penduduk tempatan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam.
Syed Hussian menerangkan, Perdana Menteri amat berbesar hati dengan pelaburan tambahan oleh Western Digital.
Ini membuktikan keupayaan kerajaan dalam mengurus ekonomi dan keyakinan pelabur terhadap pentadbiran dan kestabilan negara ketika dunia masih berdepan pandemik Covid-19.
Menurut beliau, Perdana Menteri amat mengalu-alukan mana-mana syarikat untuk melabur di dalam industri berimpak tinggi dan berteraskan teknologi di negara ini.
Jelasnya, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) serta agensi-agensi berkaitan yang lain sentiasa komited dalam menarik pelaburan dan meyakinkan pelabur untuk melabur atau membuat pelaburan tambahan di Malaysia.
“Komitmen Kumpulan Western Digital ini mencerminkan keyakinan tinggi pelabur dari luar negara untuk terus mengembangkan pelaburan dan operasi mereka di Malaysia,” katanya.