PETALING JAYA – Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) dan Galeri Wei-Ling telah berjaya mengumpul dana sebanyak RM133,200 daripada acara lelongan kebajikan hasil seni kereta Arteon yang diadakan di Hotel W Kuala Lumpur.
Pengarah Urusan VPCM, Erik Winter berkata, hasil jualan daripada lelongan itu akan disalurkan kepada Persatuan Kebajikan Kanser Payudara Malaysia (BCWA).
Katanya, sumbangan kecil turut diberikan kepada semua artis atas kerjasama mereka.
“Lelongan itu merupakan hasil daripada kerjasama di antara Volkswagen dan galeri seni bagi meraikan pelancaran Arteon R-Line serba baharu.
“Menampilkan bakat 13 orang artis Malaysia, kolaborasi itu memberi peluang unik kepada pengumpul dan peminat seni untuk memiliki model-model skala Arteon yang telah diubah oleh para artis berkenaan menjadi arca yang cukup unik,” katanya dalam satu kenyataan.
Pada masa sama, Winter berkongsi rasa gembiranya terhadap keterujaan yang ditunjukkan oleh para pembida sepanjang proses lelongan, selain menyifatkan kolaborasi ini sebagai satu pencapaian yang baik demi satu tujuan yang murni.
“Melihat seni dan Arteon bersatu dalam lelongan ini memang mengujakan. Apabila
menyaksikan para pembida mengiktiraf nilai untuk memiliki hasil seni seperti ini, ia semakin menggembirakan.
“Apatah lagi kesungguhan mereka itu timbul daripada keinginan untuk menyumbang kepada tujuan kebajikan iaitu meningkatkan kesedaran terhadap kanser payudara,” katanya.
Menurut beliau, bagi Volkswagen, Arteon bukan sekadar sebuah kereta kerana ia merupakan satu cara untuk jenama ini berhubung dengan para peminat seni di seluruh dunia memandangkan jentera itu sudah banyak kali disifatkan sebagai hasil karya seni yang sebenar.
“Dapat bekerjasama dengan Wei-Ling Gallery sememangnya satu penghormatan buat kami. Kami ingin menyatakan penghargaan kepada Galeri Wei-Ling dan semua 13 orang artis di atas segala usaha ini,” katanya.