fbpx

UiTM FC fokus kejutkan Kelantan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AFIF mengingatkan rakan-rakan sepasukan agar tidak memandang rendah Kelantan pada saingan Piala Malaysia Ahad ini. - MEDIA UiTM

PASUKAN UiTM FC tidak boleh memandang rendah cabaran pada pusingan pertama Piala Malaysia meskipun diundi dengan skuad yang beraksi dalam kancah Liga Premier, Kelantan pada pertemuan di Stadium Manjung, Perak Ahad ini.

Pandangan itu disuarakan oleh tonggak pertahanan The Lion Troops, Muhamad Afif Asyraf yang mengakui peluang buat kedua-dua pasukan itu mara ke pusingan suku akhir agak cerah memandangkan Kelantan masih lagi memiliki pemain berkualiti.

“Kita sedar dengan prestasi Kelantan yang semakin mening­kat khususnya selepas mereka mempunyai pemilik baharu, Norizam Tukiman. Namun, saya rasa perlawanan kali ini lebih berbeza dengan format kalah mati, jadi apa sahaja boleh berlaku.

“Jadi mahu atau tidak, memang kami kena bagi lebih 100 peratus di atas padang dan saya percaya kami semua tidak akan mengambil mudah perlawanan itu nanti,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Mengulas lanjut, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Lembah Klang sedikit sebanyak menjejaskan tempo latihan skuad kendalian Frank Bernhardt dalam usaha meneruskan momentum cemerlang seperti dalam kempen Liga Super musim ini.

“Saya rasa kami tiada masalah daripada segi latihan walaupun sekarang kena berlatih ikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat kerana pemain semua sudah serasi dan kita boleh fokus kepada taktikal yang diberikan oleh jurulatih.

“Memang Kelantan lebih bernasib baik apabila mereka dapat berlatih dengan normal kerana di Kota Bharu tidak dilaksanakan PKPB berbanding dengan kami di sini, tetapi saya rasa semua pemain sudah tahu apa yang perlu dibuat tidak kira macam mana kami berlatih pun.

“Sebelum ini sempat berlatih di Seremban dalam beberapa hari sebelum kami sambung berlatih di Lembah Klang, jadi rasanya tiada masalah untuk kita tetap memberi cabaran sengit kepada Kelantan nanti,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI