fbpx

Tampil derma darah bagi pastikan bekalan mencukupi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

IPOH – Stok bekalan Unit Tabung Darah, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) masih mencukupi, namun tetap memerlukan penderma tampil secara berterusan bagi memastikan stok bekalan darah berada pada paras optimum sepanjang masa.

Ini kerana keperluan darah yang mencukupi sepanjang masa adalah sangat penting bagi merawat pesakit serta pesakit yang menjalani pembedahan besar.

Pegawai Perhubungan Awam Unit Tabung Darah HRPB, Khairul Anuar Mohd. Nor berkata, ketika ini perkhidmatan menderma darah juga dijalankan setiap hari termasuk pada hari minggu di pusat beli-belah dan beberapa lokasi terpilih.

Menurut beliau, inisiatif berkenaan mendapat sambutan baik masyarakat apabila lebih mudah untuk menderma darah mengikut kesesuaian lokasi serta masa masing-masing.

“Walaupun stok bekalan darah kita sentiasa mencukupi tetapi kadar penggunaannya juga tinggi, jadi sebab itu kita perlu memastikan bekalan berada pada paras optimum.

“Penggunaan laman media sosial seperti Facebook bagi mempergiatkan promosi juga banyak membantu di samping memudahkan orang ramai untuk merujuk jadual program derma darah yang dimuat naik secara mingguan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Derma Darah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di Mes Pegawai Kanan Polis di sini hari ini.

Terdahulu, Pemangku Ketua Polis Perak, Datuk Goh Boon Keng hadir meninjau program derma darah tersebut yang melibatkan penyertaan seramai 200 pegawai dan anggota.

Khairul Anuar berkata, pada masa sama langkah-langkah tambahan juga diambil bagi mencegah penularan Covid-19 ketika individu hadir untuk menderma darah, antaranya menghadkan jumlah penderma di lokasi pada satu-satu masa.

Selain itu, langkah yang diambil ialah mengamalkan jarak sosial, menekankan amalan kebersihan diri terutamanya mencuci tangan dengan sabun serta menyediakan kaunter saringan awal iaitu pemeriksaan suhu badan. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI