IPOH – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah hari ini berkenan memberikan pembebasan awal kepada dua banduan sempena sambutan ulang tahun keputeraan baginda esok.
Setiausaha Lembaga Pengampunan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim berkata, keputusan itu dibuat pada Persidangan Lembaga Pengampunan Negeri yang dipengerusikan oleh baginda pada 3 November lalu.
“Tarikh bebas awal dua banduan itu masing-masing pada 18 Mei 2022 dan 24 Jun 2023. Sultan Perak menitahkan dua banduan tersebut dibebaskan awal berkuat kuasa hari Jumaat, 6 November,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Ahmad Suaidi berkata, sebanyak 12 rayuan telah dipersembahkan untuk pertimbangan baginda ketika Lembaga Pengampunan Negeri Perak mengadakan persidangan pada 3 Mei lalu.
Menurutnya, keputusan dibuat setelah menimbangkan laporan dari Jabatan Penjara Malaysia dan pendapat Peguam Negara serta pandangan dan ulasan yang dipersembahkan kepada ahli-ahli Lembaga Pengampunan.
“Sultan Perak berpuas hati bahawa hukuman yang dilalui dua banduan tersebut telah memberi pengajaran berguna untuk mereka berubah dan seterusnya berkelakuan baik,” katanya.
Menurutnya, baginda juga menasihatkan bahawa hukuman yang dijatuhkan adalah bertujuan untuk memberikan pengajaran kepada masyarakat agar undang-undang negara didaulatkan.
Katanya, baginda bertitah, pengampunan atau meringankan sesuatu hukuman yang telah diputuskan oleh mahkamah hanya dipertimbangkan apabila banduan menunjukkan sifat insaf sedar dan menyesal akan kesalahan yang telah dilakukan dan memohon maaf.
“Selain itu, banduan berkenaan berkelakuan baik semasa berada dalam tahanan serta menunjukkan azam untuk memulakan penghidupan baru,” katanya. – K! ONLINE.