
WARTAWAN EKSEKUTIF
Pandemik Covid-19 yang sedang melanda seluruh dunia ketika ini membataskan rutin harian semua orang bahkan merencatkan pertumbuhan ekonomi negara.
Setiap negara masih berusaha siang dan malam menangani wabak berbahaya yang boleh meragut nyawa itu.
Petugas barisan hadapan yang juga benteng terakhir dalam memerangi wabak tersebut berhempas pulas dan mempertaruhkan nyawa bagi memastikan penularan terkawal.
Menurut Pakar Sosial, Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran, bukan semua orang berkebolehan untuk menjadi petugas barisan hadapan.
“Tidak semua orang boleh berkorban dan melakukan apa yang mereka lakukan.
“Sebagai contoh, polis terpaksa bertugas tanpa cuti demi menjaga sempadan, doktor-doktor pula terpaksa melupakan keluarga di rumah demi menyelamatkan nyawa pesakit-pesakit,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.
Tambahnya, banyak cara boleh dilakukan oleh orang awam untuk menghargai jasa petugas barisan hadapan.
“Cara paling mudah ialah dengan mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) yang telah dikeluarkan.
“Bagaimanapun, masih ada lagi golongan yang ingkar sehingga menyebabkan penularan wabak ini,” ujarnya.
Justeru kata beliau, orang ramai perlu saling membantu dalam usaha memutuskan rantaian wabak Covid-19.
“Seperti diberitahu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah baru-baru ini, kita semua ialah barisan hadapan dan bertanggungjawab memutuskan rantaian daripada terus tersebar,” jelasnya.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut menghargai pengorbanan besar barisan hadapan negara yang bekerja tanpa henti sejak negara dilanda pandemik Covid-19.
Katanya, barisan hadapan negara telah membuat pengorbanan terbesar dalam usaha menangani penularan wabak Covid-19 di negara.
“Mereka tidak berhenti bekerja siang dan malam sejak pandemik ini melanda negara dan ini merupakan satu pengorbanan yang amat luar biasa.
“Orang kata, wira yang tak didendang, jadi kita harus ucap terima kasih dan zahirkan penghargaan kepada mereka di barisan hadapan yang korbankan masa dan keluarga untuk bantu kita supaya selamat daripada Covid-19 ini,” katanya.
Sementara itu, Noor Hisham pernah melaporkan memang ada isu kelesuan mental dan fizikal dalam kalangan petugas kesihatan di lapangan malah Kementerian Kesihatan (KKM) turut mengalaminya kerana terpaksa berperang berterusan tanpa henti sejak 10 bulan lalu.
Menurutnya, setiap hari perlu ada mesyuarat dan tindakan dalam menjalankan tugas sehingga mungkin ada yang terkesan dan mengalami tekanan perasaan.
Bagaimanapun, segala usaha yang dilakukan barisan hadapan itu telah melonjakkan nama Malaysia sehingga merangkul anugerah Pelancongan Kesihatan dan Perubatan: Destinasi Terbaik
Tahun ini pada Anugerah Pelancongan Perubatan 2020 di London.
Menurut kenyataan Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC), pengiktirafan kali keempat berturut-turut itu meningkatkan kedudukan Malaysia sebagai Pusat Penjagaan Kesihatan di dunia dan mencerminkan komitmen negara dalam sektor penjagaan kesihatan, khususnya ketika berdepan Covid-19.