fbpx

PKPB: KPDNHEP P. Pinang pantau harga barang, bekalan makanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

Oleh NOOR HASLIZA NUSI

BALIK PULAU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri akan memastikan bekalan makanan pengguna di Mukim 12 Daerah Barat Daya mencukupi sepanjang perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang berkuat kuasa esok sehingga 19 November ini.

Pengarahnya, Mohd. Ridzuan Ab Ghapar berkata, pemantauan harian di premis-premis perniagaan di kawasan terlibat akan dijalankan bagi memastikan tiada isu membabitkan kenaikan harga barangan berlaku.

Menurut beliau, pihaknya tidak akan berkompromi sekiranya terdapat mana-mana peniaga atau pengusaha mengambil kesempatan sepanjang PKPB ini.

“Berdasarkan laporan daripada lapangan, tiada pembelian panik yang dikesan berlaku di Mukim 12 Daerah Barat Daya hari ini.

“Kita akan meneruskan pemantauan harian ke premis-premis di kawasan PKPB di Mukim 12 bagi memastikan bekalan adalah mencukupi untuk pengguna, selain tiada peniaga yang cuba mengambil kesempatan,” katanya kepada Kosmo! di sini sebentar tadi.

Sementara itu, tinjauan Kosmo! di beberapa lokasi perniagaan termasuk di pasar raya besar dan kedai runcit di kawasan Bayan Baru serta Bayan Lepas di sini petang tadi mendapati keadaan masih terkawal biarpun orang ramai dilihat mula berpusu-pusu masuk ke premis sejak pukul 4 petang.

Bukan setakat itu, laluan di beberapa lokasi utama di Bayan Baru dan Sungai Tiram menghala ke George Town juga didapati berlaku kesesakan petang tadi. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI