KUALA LUMPUR – Pensonic Holdings Bhd. (Pensonic) bakal memperkukuhkan segmen digitalnya serta memperkenalkan rangkaian produk berasaskan internet of things (IoT) secara lebih meluas.
Pengarah Urusan Kumpulan, Vincent Chew berkata, pihaknya telah mewujudkan perkhidmatan online sejak tahun lalu.
Ini dapat dilihat pada pengenalan kedai rasmi Pensonic yang boleh dicapai melalui aplikasi dan platform e-dagang utama yang telah mendapat sambutan menggalakkan semasa perintah kawalan pergerakan.
“Di bawah norma baharu, transformasi digital telah menjadi usaha berterusan dalam memudahkan operasi perniagaan harian.
“Untuk jangka panjang, kami menjangkakan pendigitalan akan meningkatkan aliran operasi dan mengurangkan kos, seterusnya menyumbang kepada keuntungan yang lebih baik,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan yang dikeluarkan bersempena Mesyuarat Agung Tahunan ke-26 syarikat baru-baru ini.
Bagi tahun kewangan berakhir 31 Mei lalu, Pensonic mencatatkan pendapatan RM280.2 juta, penurunan sebanyak 13.6 peratus berbanding RM324.4 juta pada tahun sebelumnya.
Penyusutan tersebut disebabkan gangguan rantaian bekalan pada awal tahun 2020.
Keuntungan sebelum cukai bagaimanapun meningkat kepada RM3.6 juta, berbanding RM1.8 juta pada tahun kewangan 2019 hasil keuntungan penjualan hartanah, kilang dan peralatan.
Menurut Vincent, pihaknya sedang berusaha memperluaskan penawaran rangkaian produk peralatan rumah pintar dari siri Toush, untuk merangkumi peralatan seperti kipas siling, mesin pengering, penyaman udara mudah alih dan periuk memasak.
Jelasnya, peralatan rumah pintar siri Toush, dengan ciri jimat tenaga yang disokong teknologi digital sesuai dengan dunia digital masa kini dan konsep rumah pintar.
“Kumpulan juga akan terus meningkatkan pengurusan hubungan pelanggan digital sebagai strategi jangka panjang dalam pengekalan pelanggan dan penyelesaian penjualan yang mampan.
“Objektif kami ialah menyediakan pelanggan dengan kemudahan eWaranti, ePerkhidmatan, eKesetiaan, eDagang dan Pengurusan Peralatan Pintar,” katanya.