PETALING JAYA – Pergerakan merentas mukim, daerah dan negeri daripada kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan PKP Diperketatkan (PKPD) bagi tujuan balik kampung tidak dibenarkan pada perayaan Deepavali minggu hadapan.
Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu diputuskan hari ini menerusi sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkaitan perayaan itu.
“Sidang khas hari ini mendengar pembentangan daripada MKN mengenai prosedur operasi standard (SOP) sambutan perayaan Deepavali dan upacara sembahyang yang akan dirayakan oleh penganut agama Hindu tidak lama lagi.
“Sehubungan itu, sidang khas hari ini bersetuju untuk membenarkan penganut Hindu mengikuti sesi upacara sembahyang pada hari pertama sahaja di kawasan-kawasan yang dilaksanakan PKPP dan PKPB dengan SOP ketat yang telah ditetapkan.
“Bbagaimanapun, pergerakan merentas mukim, daerah dan negeri daripada kawasan PKPB dan PKPD bagi tujuan balik kampung adalah tidak dibenarkan,” katanya pada sidang akhbar yang disiarkan secara langsung di laman Facebook hari ini. – K! ONLINE