SEGAMAT – Seorang lelaki warga Bangladesh maut manakala dua rakannya cedera ditikam dan dibaling batu dalam pergaduhan dua kumpulan di kawasan tapak pembinaan Taman Kenari, Bukit Siput di sini, Selasa lalu.
Dalam kejadian pada pukul 10.40 malam itu, mangsa yang meninggal dunia berusia 44 tahun akibat cedera parah dilanggar sebuah kereta Proton Gen 2.
Rakannya yang berusia 30 tahun cedera parah selepas ditikam menggunakan pisau pemotong sayur manakala mangsa berusia 40an cedera pada bahagian kepala.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, sebelum kejadian, mangsa yang ditikam dikatakan menegur suspek yang sedang bercakap menggunakan telefon bimbit dengan kuat.
Menurutnya, mangsa mendakwa perbuatan suspek telah menganggu dia dan rakannya yang sedang tidur di rumah kongsi terbabit.
“Berang dengan tindakan mangsa, suspek bertindak memanggil rakan-rakannya warganegara Indonesia untuk menyerang kumpulan warga Bangladesh terbabit.
“Dalam pergaduhan itu, seorang mangsa mati dilanggar, seorang cedera ditikam menggunakan pisau pemotong sayur manakala seorang lagi cedera di kepala akibat dibaling batu,”katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Pejabat Unit K9, Bukit Siput di sini hari ini.
Hadir sama ialah Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Khaw Kok Chin dan Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Raub Selamat.
Ayob Khan berkata, susulan kejadian itu, polis menahan lapan suspek terdiri daripada tujuh lelaki Indonesia dan seorang warga Myanmar berusia antara 29 hingga 35 tahun.
“Polis masih memburu seorang lagi suspek utama dalam kes ini iaitu lelaki warganegara Indonesia yang dikenali sebagai Amir berusia 25 tahun, tinggi lebih kurang 165 sentimeter (cm) dan berkulit sawo matang,”katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek yang diburu atau berkaitan kes ini boleh menghubungi pengawai penyiasat Asisten Superintendan Norisyah Abd. Rahim ditalian 019-6507299 atau 07-9312222. – K! ONLINE