Pada Ahad lalu, kita dikejutkan dengan berita penemuan mayat remaja, Siti Nur Surya Ismail yang dibunuh kejam dengan kesan tetakan di muka dan badan semasa berada di rumahnya di Telemong, Hulu Terengganu.
Pergelangan tangan remaja berusia 19 tahun itu terputus dipercayai dikelar oleh suspek yang seusia dengan mangsa.
Lebih mengejutkan perlakuan yang pada mulanya disangka kes samun dilakukan oleh orang yang terdekat dengan mangsa.
Ketika saya menulis mengenai kejadian ini, berita mengenainya masih hangat dibincangkan di media sosial termasuk motif serangan yang dikatakan tidak berpuas hati akibat diejek dan diperli.
Kisah yang berlaku pada Siti Nur Surya mengingatkan penulis mengenai liputan dua kes bunuh membabitkan pelajar perempuan yang nyawanya direntap pada usia muda. Kejadian itu berlaku pada 2007 dan 2011 .
Bagi kes yang menimpa Juliana Md. Fuzi, 20, mangsa ditemui mati dijerut dengan menggunakan wayar di Cheras pada 2007.
Masih kuat di ingatan penulis betapa luluhnya hati keluarga mangsa apabila anak yang dilaporkan hilang dari kolej rupa-rupanya dibunuh kejam oleh kenalan sendiri hanya untuk mendapatkan wang.
Tertuduh bagi kes itu sudah pun dihukum mati dan merupakan antara pesalah muda ke tali gantung iaitu pada usia 22 tahun.
Nasib sama menimpa Nurul Awatif Mohd. Shakir, 19. Pelajar maahad ini mati akibat ditekup dengan bantal, lebih menyayat hati mayatnya kemudiannya dibawa ke kawasan semak sebelum dibakar di Ampang pada 2011.
Pesalahnya merupakan kawan lelaki mangsa, seorang pelajar universiti awam berusia 19 tahun yang bertindak demikian kerana nafsu.
Tiga kes yang berlaku ini melibatkan mangsa dan pelakunya yang masih muda meruntun hati penulis.
Sukar membayangkan bagaimana mereka yang masih dikategorikan ‘mentah’ boleh bertindak sekejam ini lebih-lebih lagi terhadap orang dikenali.
Perjalanan hidup mereka masih panjang, namun kerana desakan hidup dan terlalu ikutkan perasaan, nyawa orang lain menjadi taruhan sedangkan tindakan itu hanya penyelesaian ‘sementara’.
Pelakunya sudah pasti akan menerima hukuman, famili mangsa pula akan kehilangan orang terdekat mereka sepanjang hidup.
Dua kes sudah diadili di mahkamah manakala satu lagi kes masih dalam siasatan.
Semoga kejadian yang menimpa Siti Nur Surya mendapat pembelaan yang sewajarnya.