fbpx

Kerajaan negeri Perak bantu Shamshira

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dr. Wan Norashikin (kanan) menziarahi Shamshira di rumahnya di Kampung Chenderong Balai, Teluk Intan hari ini.

TELUK INTAN – Kerajaan negeri Perak membantu Shamshira Mohamad Norizin,  wanita yang kehilangan tempat bergantung selepas suaminya, Hafize Nizam Ali Supian maut bersama dua anak mereka dalam kemalangan treler di Gopeng Isnin lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat negeri, Datuk Dr. Wan Norashikin Wan Noordin berkata, Shamshira, 31, yang tidak bekerja akan menerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM300 yang telah diluluskan.

Menurut beliau, selain itu Shamshira juga akan menerima bantuan Takaful Tabaruk dan Kad Prihatin Perak untuk mengurangkan kos sara hidupnya.

“Untuk tuntutan Perkeso, siasatan akan dibuat untuk menentukan kelayakan arwah suaminya di bawah Bantuan Bencana Kerja.

“Jika disahkan, Shamshira akan mendapat bantuan khairat kematian dan pencen bulanan,” katanya semasa menziarahi Shamshira di Kampung Chenderong Balai di sini hari ini.

Dr. Wan Norashikin berkata, Shamshira akan diberikan kaunseling untuk menguatkan semangatnya setelah kehilangan tiga ahli keluarga serentak.

Beliau berkata, buat masa ini Shamshira akan tinggal di rumah ibunya, Normah Khalid yang terletak tidak jauh dari rumahnya.

Kosmo! kelmarin melaporkan, dalam nahas pukul 10.20 malam Isnin lalu di Jalan Malim Nawar-Kota Bharu dekat Gopeng, Hafize Nizam, 30, dan dua anak lelakinya, Muhammad Afeef Rafiqie, 9, dan Arrian Nuh, 6, meninggal dunia di tempat kejadian.

Kemalangan berlaku apabila treler muatan simen dipandu Hafize Nizam terbabas di lorong kiri sebelum melanggar tiang elektrik dan besi penghadang jalan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI