KELANTAN FC yang diundi berdepan UiTM FC dalam saingan Piala Malaysia musim ini enggan menyerah kalah sebaliknya mahu melakarkan kemenangan pada aksi itu nanti.
Pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman berkata, beliau menyerahkan sepenuh kepercayaan kepada Yusri Che Lah untuk menyediakan ramuan terbaik berdepan pasukan Liga Super itu.
“Apa yang penting adalah barisan pemain The Red Warriors (TRW) kekal fokus untuk mengharungi saingan nanti.
“Saya harap tempoh yang ada ketika ini dimanfaatkan sebaik mungkin dalam membuat persiapan menjelang pertembungan dengan UiTM FC,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Norizam berkata, beliau menyasarkan untuk mara lebih jauh dalam saingan itu nanti dan mahu setiap peluang yang dimiliki perlu dimanfaatkan bagi memastikan TRW meraih kemenangan.
“Bagaimanapun, kita tidak boleh terlalu yakin dan mengambil mudah keupayaan pasukan lawan.
“Mereka pastinya akan turun bermati-matian untuk menang. Jadi kita perlu bersedia untuk berentap dengan mereka,” ujarnya.