KUALA LUMPUR – Mesyuarat Penyelarasan Urusan Dewan Rakyat Berikutan Penularan Wabak Covid-19 yang diadakan semalam bersetuju persidangan Dewan Rakyat dari 9 November hingga 15 Disember ini hanya berlangsung dari pukul 10 pagi hingga 2 petang.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, langkah itu cuma bersifat sementara bagi mengimbangkan tanggungjawab Ahli Parlimen dengan kepentingan menjaga kesihatan mereka disebabkan penularan Covid-19.
“Sesi pertanyaan bagi jawab lisan pada hari Isnin dan Rabu ialah selama satu jam dari pukul 10 pagi hingga 11 pagi. Pada hari Selasa dan Khamis sesi pertanyaan bagi jawab lisan adalah selama 55 minit dari 10.05 pagi hingga 11 pagi. Hanya satu soalan tambahan dibenarkan dan soalan tambahan tersebut mestilah seringkas yang boleh.
“Waktu pertanyaan menteri pula akan dilaksanakan setiap hari Selasa dan Khamis selama lima minit dari pukul 10 pagi. Ahli-ahli Yang Berhormat akan membacakan soalan beliau dan Yang Berhormat Menteri akan menjawab secara bertulis pada hari yang sama. Soalan dan jawapan tersebut akan disiarkan di portal Parlimen Malaysia secepat mungkin,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Azhar seterusnya berkata, hanya 80 daripada 222 Ahli Parlimen dibenarkan menyertai sidang Dewan Rakyat pada satu-satu masa merangkumi 41 Ahli Parlimen kerajaan dan 39 Ahli Parlimen pembangkang dan bebas.
Menurut beliau, penentuan Ahli Parlimen yang boleh berada dalam Dewan Rakyat ditetapkan oleh parti politik masing-masing. – K! ONLINE