fbpx

Cecair di ‘kubur berdarah’ bukan darah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Cecair merah yang terdapat pada kubur di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Irfan di Derga, Alor Setar adalah campuran cat dan minyak

ALOR SETAR – Cecair merah yang ditemui pada kubur di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Irfan di Derga di sini September lalu disahkan bukan darah.

Ketua Polis Kedah, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, hasil ujian kimia ke atas sampel cecair tersebut mendapati ia merupakan campuran cat berwarna merah dan minyak.

“Hasil daripada semakan saintifik ke atas sampel cecair itu oleh pihak polis mendapati ia sebenarnya bukan darah.

“Ia adalah campuran cecair cat dan minyak yang mana ia kelihatan seolah-olah seperti darah tulen tetapi sebenarnya tidak ada langsung darah,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Kedah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini hari ini.

Mengulas lanjut, kata beliau, pihaknya tidak menolak kemungkinan perbuatan itu dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab semata-mata untuk menular dan mensensasikan perkara tersebut di media sosial.

“Ia perbuatan yang tidak sepatutnya berlaku dan kemungkinan wujud dalam kalangan netizen di kawasan itu yang bertindak nakal untuk mensensasikan perkara itu.

“Pihak polis juga menganggap kes tersebut selesai dan tidak ada tindakan lanjut,” katanya.

Menurutnya, siasatan polis juga mendapati ia tindakan rambang pihak tidak bertanggungjawab bukan dengan menyasarkan kubur berkenaan.

Kosmo! Online pada 19 September lalu melaporkan penduduk di sekitar bandar ini gempar dengan kejadian ‘kubur berdarah’ di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Irfan di Derga.

Kejadian itu turut viral di Facebook yang mana mendakwa kubur itu dipenuhi darah, bagaimanapun ada pihak mengatakan ia cecair berwarna merah seperti minyak. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI