LONDON – Pemain pertahanan Tottenham Hotspur, Eric Dier optimis masa depan rakan sepasukan, Dele Alli bersama pasukan masih cerah menjelang aksi peringkat kumpulan Liga Europa menentang kelab Bulgaria, Ludogorets awal pagi esok.
Sebagai rekod, Alli sudah menjadi pemain ‘buangan’ pasukan Spurs selepas tidak bersefahaman dengan pengurus, Jose Mourinho dan hampir dilepaskan pada jendela perpindahan musim lepas.
Bagaimanapun, penghijrahan Alli tidak dapat direaliasikan sekali gus memaksa Mourinho menggunakan khidmat pemain antarabangsa England itu ketika mengharungi perlawanan di pentas Liga Europa.
Kata Dier, Alli masih lagi mempunyai kualiti yang diperlukan untuk bersaing di tahap tertinggi seperti Liga Perdana England (EPL) tetapi mengakui dia perlu terlebih dahulu memikat hati Mourinho dengan membuktikan keupayaan di pentas Liga Europa.
“Mungkin agak sukar untuk saksikan Alli mendapatkan minit permainan dalam kancah EPL musim ini tetapi jurulatih (Mourinho) masih memberi ruang dan peluang untuknya bermain pada pentas Liga Europa.
“Inilah peluang untuk dia membuktikan bahawa dirinya masih serius untuk bermain dengan pasukan ini serta mempamerkan kerja keras dan aksi berkualiti seperti Alli yang kita kenali beberapa tahun lalu.
“Kami sebagai rakan sepasukan akan sentiasa memberinya sokongan kerana percaya dia masih memiliki kualiti serta berada kelas tersendiri. Alli mampu memberi nilai tambah untuk pasukan ini, namun, keputusan sepenuhnya terletak di tangan jurulatih,” kata Dier. – AGENSI