PETALING JAYA – Sebanyak 57,185 pemeriksaan bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) telah dilaksanakan di seluruh negara semalam.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebanyak 2,944 anggota Pasukan Task Force Operasi Pematuhan Polis Diraja Malaysia (PDRM) melibatkan 13,834 anggota telah terlibat dalam operasi berkenaan.
“Sebanyak 3,558 pasar raya, 5,028 restoran, 1,149 kilang, 1,530 pasar awam atau tani, 2,855 tempat ibadah serta 1,250 tempat riadah telah diperiksa.
“Semalam, PDRM juga telah menahan 506 individu atas kesalahan ingkar arahan PKPP. Daripada jumlah itu, seramai 498 individu telah dikompaun, enam individu direman manakala dua dijamin,” katanya pada sidang akhbar yang disiarkan secara langsung di laman Facebook hari ini.
Menurut Ismail Sabri, antara kesalahan ingkar arahan PKPP termasuklah kegagalan 145 buah premis menyediakan peralatan atau merekod butiran pelanggan, tidak memakai pelitup muka (124), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (96) dan aktiviti pusat hiburan (72).
Selain itu, katanya, sebanyak 17 premis beroperasi lebih masa atau tanpa kebenaran dan lain-lain (52).
“Task Force akan terus mempertingkatkan pemeriksaan serta mengambil tindakan ke atas pemilik premis dan orang awam yang tidak mematuhi SOP PKPP yang ditetapkan,” katanya. – K! ONLINE