SIK – Keluarga kepada warga emas yang hilang selepas keluar dari rumah di Kampung Charuk Padang di sini sejak seminggu lalu masih berharap agar mangsa ditemui dalam keadaan selamat.
Warga emas itu, Ek Liau Din Tin, 81, yang mengalami masalah ingatan dikatakan keluar dari rumah dengan hanya memakai tuala kira-kira pukul 3 petang, 28 Oktober lalu.
Anak lelaki mangsa, Aibon, 41, berkata, operasi pencarian telah dilakukan oleh pihak polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) sejak Khamis lalu.
“Penduduk kampung juga bantu mencari bapa di lokasi pencarian termasuk di Sungai Chepir serta kawasan kebun dan belukar berhampiran tetapi masih gagal menemuinya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.
Katanya, dia sekeluarga juga cuba mencari mangsa di pusat jagaan orang tua di sekitar Sik, namun tidak menemuinya.
“Bapa tidak pernah hilang dalam tempoh lama seperti ini kerana biasanya penduduk kampung akan menghantarnya pulang jika menemuinya jauh dari kawasan rumah,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sik, Abdull Razak Osman berkata, seramai 73 anggota polis, bomba, APM dan Rela serta 30 penduduk kampung terlibat dalam operasi mencari mangsa.
“Buat masa ini kita belum menemui sebarang petunjuk yang boleh membawa kepada penemuan mangsa berusia 81 tahun itu,” katanya.
Beliau pada masa sama memohon orang ramai yang menemui atau mempunyai maklumat tentang mangsa agar menghubungi balai polis berdekatan. – K! ONLINE