MELAKA – Wang tabung sumbangan jemaah yang dikumpulkan untuk diagihkan kepada golongan asnaf termasuk penyediaan gerobok makanan di Masjid An-Najwan, Jalan Cheng Lama di sini lesap selepas dilarikan individu tidak bertanggungjawab.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, laporan berhubung kejadian tersebut telah dibuat oleh ahli Jawatankuasa (AJK) masjid berkenaan kira-kira pukul 3 petang semalam di Balai Polis Tanjung Minyak.
“Kejadian itu disedari oleh salah seorang AJK masjid tersebut kira-kira pukul 4 petang pada Ahad lalu, namun laporan baru dibuat semalam.
“Menurut laporan awal, hasil pemeriksaan tabung tersebut oleh pihak masjid mendapati kira-kira RM100 wang sumbangan jemaah telah lesap,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mengulas lanjut Afzanizar berkata, hasil lanjut pemeriksaan rakaman kawalan kamera litar tertutup (CCTV) masjid berkenaan mendapati seorang suspek lelaki memakai baju putih telah masuk ke dalam masjid sebelum mengumpil tabung tersebut.
“Berdasarkan CCTV, suspek dilihat telah masuk ke dalam masjid sebelum bertindak mengumpil kunci mangga pada tabung besi tersebut menggunakan objek kecil yang tajam,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Masjid An-Najwan, Ir. Banan Abd. Shukor memberitahu, wang sedekah para jemaah itu sepatutnya akan diagihkan untuk kegunaan golongan fakir miskin termasuk pembelian barangan keperluan asas yang diletakkan dalam gerobok makanan di masjid tersebut.
“Wang sumbangan di dalam tabung itu memang kami manfaatkan untuk program-program menyantuni golongan asnaf yang dijalankan oleh pihak masjid.
“Selain itu, wang tabung itu jugalah yang digunakan untuk membeli makanan dan diletakkan di dalam gerobok di masjid ini untuk keperluan golongan memerlukan,” katanya.
Terdahulu, Afzanizar berkata, pihaknya kini sedang menjejaki suspek berdasarkan maklumat CCTV tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan. – K! ONLINE