PETALING JAYA – Penyanyi yang pernah mencipta nama menerusi lagu Mungkinkah, Sheila Abdull reda selepas perkhidmatannya sebagai pramugari Malindo Air ditamatkan setelah empat tahun berkhidmat bersama syarikat penerbangan tersebut.
Dalam satu perkongsian yang dimuat naik dalam laman Instagram, Sheila atau nama sebenarnya, Nursheila Abdullah, 32, berterima kasih kepada syarikat itu kerana memberi peluang kepadanya untuk berkhidmat di awan biru.
“Masa untuk mengucapkan selamat tinggal. Ada dua perkara yang sukar untuk dilakukan, yang pertama mengucapkan hello ketika kali pertama berjumpa dan mengucapkan selamat tinggal untuk pertemuan terakhir.
“Tetapi itulah kesan daripada pandemik (Covid-19) yang sedang melanda dunia sekarang. Terima kasih kepada semua dan memori indah kita bersama,” katanya.
Menurut anak didik komposer Allahyarham Datuk Adnan Abu Hassan itu, dia berasa bersyukur dapat berkhidmat bersama Malindo Air.
“Maafkan jika saya ada membuat kesalahan dan terguris hati sesiapa semasa kita bersama,” kata isteri bekas anggota kumpulan Drama Band, Ammar Habir.
Pada akhir status yang dimuat naik itu, Sheila turut berkongsi tarikh perkhidmatannya di Malindo Air sejak 10 Oktober 2016 sehingga hari terakhirnya pada 10 Oktober lalu.
Sheila Abdul yang mengambil cuti tanpa gaji selama setahun kerana hamil dan bersalin tidak disambung kontraknya selepas tamat pada 10 Oktober lalu.
Terdahulu, syarikat penerbangan Malindo Air mengambil langkah memberhentikan sehingga lebih 2,000 kakitangannya untuk meneruskan operasi pada skala yang lebih kecil.
Tindakan dibuat berikutan impak daripada industri penerbangan yang terjejas ekoran pandemik Covid-19 di seluruh dunia.