TAIPING – Gara-gara terpedaya dengan pujuk rayu rakan wanita yang dikenali menerusi aplikasi sosial OkCupid, seorang pesara menggunakan wang simpanan hari tuanya berjumlah RM1,177,950 untuk pelaburan emas yang tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, penipuan ke atas lelaki berusia 60 tahun itu bermula setelah dia mengenali seorang wanita warga Singapura menerusi aplikasi sosial tersebut.
Katanya, wanita itu menawarkan mangsa untuk mendapat keuntungan yang tinggi dengan melabur dalam pelaburan emas yang dikenali sebagai Alpha Tradex.
“Lelaki itu telah memasukkan wang secara berperingkat ke dalam lapan akaun yang diberikan oleh suspek bagi tujuan pelaburan emas.
“Suspek juga memaklumkan, hasil pelaburan yang dibuat oleh mangsa kononnya telah mendapat keuntungan mencecah USD2,712,447.41 (RM11,259,406.12),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut beliau, penipuan itu bagaimanapun terbongkar selepas mangsa ingin menunaikan wang keuntungan tersebut namun mendapati tiada kemasukan wang dalam akaun bank miliknya.
Katanya, semakan ke atas resit transaksi wang yang diberikan suspek juga sebenarnya adalah palsu.
“Setelah semakan dibuat ke atas akaun pengadu didapati tiada kemasukan malah semakan di Ambank mendapati resit transaksi yang ditunjukkan suspek adalah palsu.
“Mangsa kemudiannya membuat laporan polis kelmarin dan siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya. – K! ONLINE