fbpx

Peritnya tiada simpanan kecemasan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
SUHANA MD. YUSOP
PENGARANG BERITA

Kisah wanita yang mahu menjual buah pinggang bagi mendapatkan duit untuk perbelanjaan selain membayar hutang-hutang sangat mengejutkan.

Perkongsian seorang pengacara, Ahmad Fedtri Yahya mengenai wanita berkenaan turut menarik perhatian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri yang memaklumkan pertolongan awal telah dibuat Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan.

Ini adalah salah satu daripada kisah masyarakat di luar sana yang cukup terkesan di hati orang ramai. Kisah benar bagi yang terdesak mahukan wang.

Belum lagi kisah mereka yang hilang sumber pendapatan, ayah yang juga penanggung tunggal keluarga dibuang kerja serta syarikat tutup ekoran keadaan ekonomi akibat pandemik Covid-19.

Situasi ini semakin membebankan. Statistik Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) setakat 28 Oktober lalu menunjukkan seramai 90,470 orang hilang pekerjaan tahun ini.

Sudah tentu ia bukan angka yang sedikit, malah pasti individu yang kehilangan pekerjaan sangat struggle untuk mendapatkan pendapatan mereka kembali.

Penulis yang pernah berdepan isu itu merasakan pentingnya mempunyai simpanan di masa kecemasan. Kita mengharapkan panas hingga ke petang rupanya hujan di tengah hari. Peritnya, hilang mata pencarian di tambah simpanan yang semakin menyusut.

Cadangan membenarkan pengeluaran Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerjaan (KWSP) mendapat reaksi berbeza dari masyarakat. Ada yang menyokong kerana ia mampu mengurangkan beban individu yang memerlukan di saat pandemik yang mencengkam tidak kurang juga menentang.

Bagaimanapun, kajian KWSP mendapati sebanyak 71 peratus daripada ahli aktif mempunyai kurang daripada RM50,000 dalam simpanan mereka juga membimbangkan.

Berdasarkan kajian itu, ia bermakna mereka hanya mempunyai RM208 sebulan jika mengambil kira 20 tahun kehidupan selepas bersara dan wang simpanan mereka sebenarnya tidak mencukupi untuk menjalani kehidupan yang selesa selepas tidak lagi bekerja.

Dalam pada itu, hanya satu daripada tiga pencarum mempu mencapai simpanan asas berjumlah RM240,000 ketika bersara. Ini juga asas penting yang perlu diambil kira semua pihak.

Sebelum ini ketika pandemik fasa 1 Covid-19, kerajaan membenarkan pengeluaran Akaun 2 KWSP sebanyak RM500 sebulan untuk tempoh 12 bulan.

Bagi penulis, cadangan membenarkan pengeluaran Akaun 1 KWSP perlu dibuat secara bersasar, tetapkan had pengeluaran dan mereka yang memerlukan sahaja boleh memohon dibenarkan bagi mengelakkan wang simpanan masa depan habis begitu sahaja.

Ini kerana, biarpun ia baru diperingkat cadangan, namun telah ada yang membuat perancangan bagaimana mahu membelanjakan wang berkenaan.

Jika tidak memerlukan, usah dikeluarkan simpanan itu. Jika dibawa keluar, simpan untuk kecemasan. Jangan pula bercita-cita membeli iPhone 12.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI