LEEDS – Pengurus Leeds United, Marcelo Bielsa mengakui, skuad kendaliannya berhak kalah selepas dibelasah 1-4 oleh Leicester City pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Elland Road awal pagi semalam.
Faktor beraksi sebagai tuan rumah gagal membantu Leeds daripada menghalang The Foxes meledak empat gol menerusi dua jaringan Youri Tielemans serta masing-masing satu daripada Harvey Barnes dan Jamie Vardy.
Justeru, Bielsa, 65, menganggap keputusan itu adil buat kedua-dua pasukan selain menyifatkan salah satu faktor kekalahan mereka disebabkan anak-anak buahnya berdepan kesukaran untuk melancarkan serangan pada separuh masa pertama.
“Bagi saya, keputusan ini adil buat kedua-dua pasukan. Pada 30 minit pertama, kami bukan sahaja sukar untuk menyerang tetapi turut berdepan serangan bertali arus yang dilancarkan oleh Leicester.
“Kami juga gagal mencipta peluang menjaringkan gol ketika kami sedang mendominasi perlawanan. Oleh itu, saya mengakui kami berhak tewas dalam perlawanan ini,” katanya.
Pada masa sama, pengendali dari Argentina itu menjelaskan, Leeds memberikan terlalu banyak ruang kepada pasukan pelawat sehingga menyebabkan mereka terpaksa bertahan daripada serangan demi serangan Leicester.
“Sebenarnya bukan kepantasan Leicester yang memberikan masalah tetapi kami sendiri membuka ruang untuk mereka melancarkan serangan. Saya harap semua pemain mengambil pengajaran daripada kekalahan ini,” ujarnya. – AGENSI