KOTA KINABALU – Seramai 251 pengusaha bot pelancong meminta pihak pengurusan Jesselton Point (JP) melanjutkan moratorium bagi sewa premis serta pembayaran meletakkan bot di jeti terbabit.
Wakil pengusaha bot pelancong JP, Arwin Singkang, 39, berkata, pengusaha di jeti berkenaan diberikan pengurangan bayaran sewa premis sebanyak 70 peratus bagi tempoh dua bulan untuk bulan April dan Mei lalu.
“Kita juga diberikan potongan 20 peratus bagi bulan Jun. Bagaimanapun, semua pengusaha diminta membuat pembayaran penuh untuk bulan seterusnya selain perlu membayar tempat meletak bot setiap hari di jeti ini.
“Keadaan ini pastinya membebankan pengusaha berikutan tiada sebarang kemasukan aliran perniagaan ketika ini,” katanya.
Arwin berkata demikian ketika ditemui selepas Sesi Pertemuan Bersama Pengusaha Bot Pelancong hari ini.
Turut disampaikan bantuan bakul makanan kepada pengusaha bot pelancong JP.
Dalam pada itu, Arwin turut memohon pihak kerajaan negeri agar mempertimbangkan cadangan bot pelancong yang ada bagi aktiviti memancing.
“Pendekatan ini adalah sebagai salah satu inisiatif yang boleh dilakukan untuk membantu golongan pengusaha bot pelancong meneruskan kehidupan.
“Sejak penular wabak Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), lebih 1,000 individu yang terbabit dalam industri bot pelancong terjejas punca pendapatan,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik yang juga Setiausaha PAS Sabah, Dr Aliakbar Gulasan berkata pihaknya akan cuba membawa permasalahan dihadapi pihak pengusaha bot pelancongan terjejas kepada kerajaan negeri.
“Antara isu besar yang kita lihat harus diselesaikan segera adalah mengenai moratorium khususnya berkaitan penyewaan premis tempat mereka beroperasi.
“Saya akan sampaikan kepada kementerian berkaitan bagi memastikan perkara ini dapat dilanjutkan memandangkan pengusaha bot pelancong kini berada dlm keadaan sukar dalam perniagaan,” katanya. – K! ONLINE