KOTA KINABALU – Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah mengesahkan seramai 510 tahanan di Pusat Tahanan Sementara (PTS) Kota Kinabalu dan Tawau disahkan positif Covid-19.
Pengarah Keselamatan Negeri Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah, Sharifah Sitti Saleha Habib Yussof berkata, Jumlah berkenaan diperolehi hasil ujian saringan yang dijalankan ke atas 3,124 tahanan bermula 30 Oktober lalu di PTS Kota Kinabalu dan PTS Tawau pada 2 November.
“Kita sudah mengambil langkah yang perlu dalam usaha mencegah penularan wabak Covid-19 di semua PTS, termasuklah memberhentikan sesi lawatan pihak luar termasuklah ahli keluarga tahanan.
“Bagaimanapun, pengecualian diberikan membabitkan aspek keselamatan, pihak konsul dan kedutaan negara luar,” katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu ditemui media ketika pemantau PTS Kota Kinabalu di Manggatal hari ini.
Dalam pada itu, Sharifah Sitti Saleha menyatakan kes positif yang dikesan di PTS Kota Kinabalu dan Tawau adalah membabitkan tahanan baharu yang mendapat keputusan negatif pada ujian saringan pertama dan tidak bergejala.
“Tahanan hanya mula menunjukkan gejala seperti demam dan batuk sebelum disahkan positif Covid-19 selepas ditempatkan di dalam PTS melebih 14 hari.
“Kes ini masih dalam siasatan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS),” katanya.
Semantara itu, Sharifah berkata, pelbagai tindakan sudah diambil termasuklah mewujudkan pengezonan blok dan mengasingkan tahanan mengikut kategori.
“Bagi memutuskan rantaian dan risiko penularan di luar PTS Kota Kinabalu, semua tahanan yang sedang dirawat di hospital dijaga oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) negeri Sabah.
“JIM Tawau membantu kawalan keselamatan bagi orang tahanan yang berada di pusat kuarantin atau pusat rawatan tambahan untuk PTS Tawau,” ujarnya.
Katanya, dalam mengatasi masalah kesesakan pula, pihak MKN Sabah menggesa agar pengaktifan segera pusat kuarantin tahanan PATI dibuat segera untuk pengasingan antara tahanan mengikut kategori.
Jelasnya, pengasingan akan dapat menghentikan penularan wabak berkenaan dan tidak akan berulang lagi di masa akan datang.