LONDON – Chelsea kini boleh menarik nafas lega selepas kehadiran Edouard Mendy berjaya menyelesaikan masalah utama di bahagian penjaga gol pasukan itu.
Mendy, 28, tidak mengambil masa lama untuk merampas status sebagai pilihan utama The Blues menggantikan tempat pembelian kedua termahal pasukan itu, Kepa Arrizaba-laga yang dibeli dengan yuran perpindahan bernilai £71 juta (RM381.6 juta).
Justeru, pengurus Chelsea, Frank Lampard percaya Mendy tidak akan berdepan masalah untuk meneruskan momentum cemerlang menjelang aksi ketiga Kumpulan E Liga Juara-Juara bertemu bekas kelabnya, Rennes di Stamford Bridge awal pagi esok.
“Dia menunjukkan prestasi yang sangat menakjubkan sejak kali pertama diturunkan beraksi menentang Tottenham (Hotspur) pada aksi Piala Liga (September lalu).
“Inilah sebab utama kami sanggup mengeluarkan dana sebanyak £22 juta (RM118.2) untuk membeli Mendy (pada September lalu).
“Saya memberitahunya bahawa persaingan di Chelsea sangat sengit tetapi dia tidak mengambil masa lama untuk membuktikan kualitinya.
“Jadi saya berharap dia dapat memastikan gawang Chelsea tidak dibocori menentang bekas kelabnya,” kata Lampard.
Penjaga gol skuad antarabangsa Senegal itu hanya melepaskan satu gol daripada enam perlawanan bersama Chelsea musim ini, selain berjaya memastikan gawang The Blues tidak dibolosi dalam kemenangan 3-0 ke atas Burnley pada aksi Liga Perdana Inggeris, Sabtu lalu. – AGENSI