PENYANYI kumpulan VIXX, Leo memberi respons terhadap dakwaan tidak masuk akal seorang pengguna Instagram bahkan menyerangnya secara tiba-tiba.
Pengguna berkenaan menghantar banyak mesej mengandungi perkara-perkara jelek termasuklah dakwaan penyanyi itu ‘lapar’kan tubuh badannya.
“Oppa (abang), kenapa saya tidak dapat tengok muka awak. Tapi abang boleh melihat badan saya. Kenapa anggap ini satu bentuk gangguan seksual? Tidak bolehkah sekurang-kurangnya abang nikmatinya sahaja,” tulis pengguna Instagram itu.
Tidak tahan akibat kerap menerima mesej serupa daripada orang yang sama, Leo merayu agar individu itu berhenti bertindak sedemikian kerana situasi tersebut sangat mengganggunya.
“Jangan biadab dan ganggu tempat yang sepatutnya Starlights (kumpulan peminat VIXX) gunakan untuk menyokong karier kami.
“Saya kurang membalas mesej Instagram tetapi ini sangat teruk. Tolong hentikannya,” kata Leo.
Penyanyi itu juga meminta netizen menghormati privasi orang lain dengan tidak menyakiti sesiapa dan menggunakan platform tersebut untuk kebaikan bersama.