LEEDS – Leicester City melonjak ke tanggan kedua Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas membelasah Leeds United 4-1 pada aksi yang berlangsung di Elland Road awal pagi semalam.
Dua gol menerusi Youri Tielemans serta masing-masing satu jaringan daripada Harvey Barnes dan Jamie Vardy menyaksikan The Foxes kini ketinggalan satu mata sahaja lagi dengan pendahulu EPL yang juga juara bertahan, Liverpool.
Pengurus Leicester, Brendan Rodgers mengakui, skuad kendaliannya menampilkan persembahan sempurna apabila berjaya mendominasi hampir keseluruhan perlawanan meskipun bolos satu gol kepada Leeds hasil jaringan Stuart Dallas.
“Inilah prestasi yang diperlukan oleh pasukan sekiranya mahu menang setiap perlawanan. Saya sedar Leeds adalah pasukan menyerang, jadi mereka pastinya akan membuka banyak ruang yang boleh dimanfaatkan oleh kami.
“Bukan mudah untuk datang dan menguasai perlawanan di sini. Saya sangat gembira kerana kami berjaya menunjukkan satu permainan yang cukup baik serta berkelas dunia,” kata Rodgers yang pernah membimbing Liverpool dari 2012 hingga 2015.
Pengendali berusia 47 tahun itu juga menegaskan, kemenangan tersebut amat berharga buat Leicester kerana Leeds adalah satu pasukan yang sukar dikalahkan kerana dibimbing oleh salah seorang jurulatih terbaik dunia, Marcelo Bielsa.
“Mungkin saya bertuah dapat kalahkan Leeds dengan jumlah gol sebegini. Namun, ia juga berpunca daripada kesungguhan semua pemain sepanjang perlawanan,” ujar Rodgers. – AGENSI