PUTRAJAYA – Lebih banyak tapak perniagaan akan dibuka di Kuala Lumpur bagi memberi peluang kepada usahawan muda membabitkan diri dalam perniagaan.
Jaminan itu diberikan Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa selepas melihat kesukaran hidup dihadapi warga kota terutama pada pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Annuar berkata, kesusahan anak muda khususnya di bandar perlu dibela secara luar kebiasaan.
Menurutnya, beliau akan mempermudahkan lagi program usahawan muda kota termasuk menambah tapak perniagaan baharu.
“Minggu ini saya ajak Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Mahadi Che Ngah ikut saya ronda Kuala Lumpur cari kawasan perniagaan.
“Anda juga boleh bantu saya kenalpasti tapak yg sesuai…..Insya-Allah,” katanya menerusi hantaran di Facebook, malam tadi.
Katanya, beliau akui kesukaran hidup dialami warga kota terutama semasa dan pasca PKP khususnya golongan miskin.
Annuar berkata, beliau sudah ikhtiarkan inisiatif Wilayah Cakna 1.0, 2.0, 3.0 dan 4.0 membabitkan pengecualian sewa rumah, lesen dan lain-lain membabitkan kos lebih RM100 juta.
“Namun, hati kecik saya masih resah terutama selepas mendapat perkhabaran mereka yang hilang pekerjaan.
“Program Mybus, Mygrocer, Myfood dan lain-lain dilihat terlalu perlahan. Insya-Allah Belanjawan 2021 Jumaat ini sarat dengan pembelaan rakyat.
“Kita akan meneruskan ikhtiar tambahan dan di maklum dari semasa ke semasa,” katanya.
Sebelum ini, Kementerian Wilayah Persekutuan memperkenalkan pelbagai inisiatif termasuk Wilayah Cakna bagi meringankan beban warga kota terutama di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan berdepan impak wabak Covid-19. – K! ONLINE