SHAH ALAM – Tiga ekor kucing batu yang merupakan spesis dilindungi ditemui berkeliaran berhampiran tasik di Hutan Pembelajaran Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Jengka, Pahang baru-baru ini.
Kucing tersebut atau nama saintifiknya Prionailurus Bengalensis ditemukan pada 16 Oktober lalu oleh seorang kakitangan operasi hutan Pusat Pengajian Teknologi Perkayuan, UiTM kampus tersebut, Mohamad Aksso Rosli.
Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UiTM, Prof.Dr. Mohd. Nazip Suratman berkata, kakitangan itu pada mulanya menyangka terserempak dengan dua anak harimau sebelum mendekati dan sempat merakam video haiwan liar tersebut.
“Selang beberapa kemudian, ibu kepada dua ekor kucing itu muncul sebelum kesemuanya melarikan diri.
“Kucing batu juga dikenali sebagai kucing harimau bintang Asia merupakan salah satu jenis kucing liar yang terdapat di Malaysia dan saiznya hampir menyamai kucing biasa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Kata beliau, berdasarkan rekod status konservasi dari Senarai Merah ‘International Union on Conservation of Nature’ (IUCN) kucing itu juga boleh ditemukan di beberapa negara lain seperti wilayah Sumatera, Jawa dan Bali di Indonesia, Borneo, Filipina, Thailand, Myanmar, Laos, Vietnam, Cambodia.
Ujarnya, selain itu haiwan itu juga terdapat di Pakistan, India, Nepal, China, Taiwan dan Siberia dengan habitatnya di kawasan hutan tebal, kebun dan ladang kelapa sawit.
“Kucing itu yang dikategorikan sebagai karnivor memakan haiwan lebih kecil seperti tikus, cicak dan katak dengan reproduksi haiwan berkenaan mampu melahirkan sehingga empat ekor anak dalam satu-satu masa.
“Mengikut Akta 716 Pemuliharaan Hidupan Liar 2010, Kucing batu adalah spesies yang dilindungi sepenuhnya dan dipercayai semakin pupus akibat pemburuan haram,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohd. Nazip menegaskan penemuan tersebut menunjukkan kampus-kampus cawangan UiTM mempunyai ciri-ciri keunikan tersendiri dari segi kewujudan haiwan liar. – K! ONLINE