KOTA KINABALU – Keengganan negara jiran menerima semula rakyat mereka menjadi Pusat Tahanan Sementara (PTS) di negeri ini mengalami kesesakan.
Pengarah Keselamatan Negeri Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah, Sharifah Sitti Saleha Habib Yussof berkata, ia ekoran penutupan sempadan oleh negara jiran berikutan kebimbangan penularan wabak Covid-19.
”Hasil rundingan dengan kedutaan Filipina dan Indonesia sebelum ini, kita berjaya menghantar balik seramai 3,000 tahanan. Presiden Filipina, Rodrigo Duterte pada Mei lalu juga bersetuju untuk menerima 5,300 warga negara mereka dengan syarat menjalani ujian swab dan disahkan negatif Covid-19.
”Namun mereka menutup semula sempadan apabila berlaku gelombang kedua,” katanya ketika ditemui sewaktu melakukan pemantauan di PTS Kota Kinabalu di Manggatal hari ini.
Yang turut hadir Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji.
Bagaimanapun, Sharifah Sitti Saleha berkata, pihaknya kini masih berunding dengan kedutaan kedua-dua negara terbabit bagi meminta mereka menerima tahanan warganegara masing-masing yang disahkan bebas Covid-19.
“Berdasarkan rekod jumlah tahanan di PTS Kota Kinabalu dan Tawau setakat ini terdapat seramai 5,329 orang dengan 86 peratus adalah daripada Filipina, 12 peratus dari Indonesia dan selebihnya dari negara lain seperti Vietnam, Thailand, China serta Pakistan.
“Semua tahanan ini dipanggil sebagai banduan dagang iaitu yang tidak memiliki dokumen untuk ditahan sementara menunggu pengusiran dilaksanakan,” Katanya.
Sementara itu, Sharifah berkata, keadaan PTS di Sabah masih mencukupi namun pihaknya sudah membuat beberapa perancangan bagi memastikan PTS tidak sesak dengan tahanan.
“Kita sudah mendapat lapan dewan di seluruh negeri ini untuk tujuan dijadikan pusat kuarantin bagi tahanan PTS malahan bakal meneruskan rundingan dengan pihak kedutaan negara berkaitan untuk memulakan penghantaran tahanan ke negara masing-masing,” katanya. – K! ONLINE