KOTA BHARU – Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) telah menghantar seramai 338 orang Pembantu Perawatan Kesihatan atau jururawat yang berperanan sebagai petugas barisan hadapan untuk membantu rawatan pesakit Covid-19 di Selangor, Kedah dan Sabah sejak 23 September lalu.
Pengarah Kesihatan Kelantan, Datuk Dr. Zaini Hussin berkata, jumlah itu sekali gus mencatatkan JKNK sebagai negeri tertinggi yang menghantar petugas untuk membantu kawasan zon merah yang terjejas teruk akibat penularan wabak Covid-19.
“Kita tidak boleh menjangkakan jumlah keseluruhan penghantaran jururawat untuk membantu di kawasan zon merah pada masa akan datang. Sekiranya memerlukan, kita akan terus menghantar mereka untuk berkhidmat di sana.
“Kesemua petugas yang dihantar atas dasar sukarela dan tanggungjawab mereka kepada negara. Majoriti yang dipilih juga tiada penyakit kronik dan mampu melaksanakan tugas dengan baik di lapangan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis kesyukuran sempena empat orang jururawat JKNK yang dihantar untuk bertugas ke Labuan, Sabah di Wisma Persekutuan di sini hari ini.
Empat orang jururawat iaitu, Suzana Yusof, 45, dan Nik Azreen Othman,33, dari Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu manakala Norhalawati Che Sulaiman,42 dan Adila Hamiun, 25, dari Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai akan berlepas ke Labuan esok untuk bertugas di kawasan yang sudah dikategorikan sebagai zon merah itu.
Mengulas lanjut, menurut Zaini, beliau melihat peningkatan kes di Labuan memerlukan lebih ramai jururawat atau petugas barisan hadapan yang bertugas untuk membantu pesakit dan masyarakat di negeri itu.
Dalam pada itu, Adila yang merupakan anak jati Keningau, Sabah amat berbangga selepas dipilih untuk menjalankan tugas di Labuan sekali gus dapat pulang dan berbakti di negeri kelahirannya.
“Saya risau melihat peningkatan kes di Sabah terutamanya di Labuan setiap hari ini. Peluang diberikan oleh JKNK ini akan saya gunakan sebaiknya untuk membantu dalam pelbagai aspek terutamanya rawatan kepada penduduk di Labuan yang terjejas akibat Covid-19,” katanya.
Sementara itu, Suzana yang merupakan ibu kepada empat orang anak berharap dapat melaksanakan tugas dengan sebaiknya selain berharap keringat petugas barisan hadapan dapat membantu menurunkan jumlah kes di Sabah. – K! ONLINE