fbpx

Kastam Perak rampas rokok, arak seludup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamad Saprin (tengah) menunjukkan rokok seludup yang dirampas pada sidang akhbar di Wisma Kastam Perak.

IPOH – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perak merampas 1.4 juta batang rokok putih dan 202 botol arak seludup dengan nilai cukai keseluruhan berjumlah RM1.04 juta dalam dua serbuan berasingan di Ipoh dan Teluk Intan minggu lalu.

Pengarah JKDM Perak, Dr. Mohamad Saprin berkata, dalam operasi Jumaat lalu di Ipoh, sebuah premis menjalankan perniagaan runcit diserbu dengan dua lelaki berusia lingkungan 40-an ditahan untuk siasatan.

Katanya, hasil pemeriksaan di premis tersebut menjumpai 202 minuman keras import pelbagai jenama yang disyaki sebagai barang larangan kastam.

“Siasatan mendapati arak berkualiti tinggi itu dipercayai dijual dengan harga 30 peratus lebih murah daripada pasaran dan dijual di premis berkenaan secara sembunyi.

“Jumlah nilai minuman keras itu termasuk cukai dianggarkan bernilai lebih kurang RM40,000,” katanya pada sidang akhbar di Wisma Kastam Perak di sini hari ini.

Menurut beliau, dalam serbuan pada Sabtu lalu di sebuah rumah di Taman Saujana Bakti, Jalan Kampung Banjar di Teluk Intan oleh Bahagian Penguatkuasaan JKDM Perak, pihaknya menemui 1.4 juta batang rokok putih pelbagai jenama yang diseludup dari Indonesia.

Katanya, rumah tanpa penghuni yang diserbu hasil maklumat awam itu merupakan lokasi untuk menyimpan rokok berkenaan.

“Tiada suspek yang ditahan dalam serbuan itu dan kesemua eksibit dirampas untuk siasatan.

“Kita masih mengesan pemilik rumah terbabit dan risikan mendapati rokok berkenaan dijual secara terbuka. Rokok diklasifikasikan sebagai dagangan terlarang,” katanya.

Tambahnya, kedua-dua barangan itu dipercayai diseludup dari pelabuhan utama negara dan kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI