HULU SELANGOR – Seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun mati lemas ketika sedang beriadah di sebuah tempat perkelahan di Hulu Yam Bharu di sini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Arsad Kamaruddin berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 9.30 pagi sewaktu mangsa, Qistina Balqis Mohamad, 10, bersama lapan rakannya telah pergi ke Kampung Ulu Kalong di sini untuk berbasikal sambil ditemani ibunya.
“Sewaktu dalam perjalanan pulang, kumpulan tersebut telah singgah ke kawasan perkelahan di Restu Ibu Kampung Ulu Kalong, Hulu Yam Bharu untuk berehat sebelum si ibu pergi menghantar anak perempuannya yang lain pulang ke rumah kerana sakit perut.
“Apabila dia tiba semula ke lokasi kejadian, dia telah dimaklumkan oleh rakan-rakan anaknya bahawa mangsa telah lemas,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Arsad, pihak ambulan yang tiba tidak lama kemudian mengesahkan bahawa mangsa telah meninggal dunia dan jenazah seterusnya dibawa ke Forensik Hospital Kuala Kubu Bharu untuk tindakan selanjutnya.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) akibat mati lemas,”jelas beliau. – K! ONLINE