SHAH ALAM – Anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) terpaksa berjalan kaki lebih dua kilometer (km) bagi menyelamatkan seorang wanita yang cedera akibat terjatuh basikal di kawasan hutan berdekatan Alam Budiman di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1 petang itu, mangsa yang berusia 45 tahun patah kaki kiri dipercayai selepas tersalah menekan brek ketika menuruni bukit.
Ketua Sektor Operasi APM Klang, Leftenan (PA) Muhammad Najib Mohamad Isahak berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan daripada rakan mangsa yang turut mengayuh basikal di hutan itu.
Katanya, sepasukan lapan anggota bersama sebuah kenderaan pacuan empat roda dan ambulans tiba di kawasan tersebut pada pukul 1.54 petang.
“Bagaimanapun, anggota kita mengalami kesukaran untuk memasuki hutan itu dengan kenderaan kerana kawasan berbukit sehingga terpaksa berjalan kaki dengan dipandu arah beberapa rakan mangsa.
“Wanita itu ditemukan masih sedarkan diri dan terbaring kesakitan akibat kecederaan dialaminya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini, hari ini.
Ujar Muhammad Najib, pihaknya kemudiannya menggunakan alat pengusung untuk membawa keluar mangsa sejauh lebih dua km.
“Operasi menyelamat itu memakan masa selama sejam yang berakhir pada pukul 2.54 petang sebelum mangsa dihantar ke Hospital Shah Alam dan kini dilaporkan stabil,” jelasnya. – K! ONLINE