PETALING JAYA – Penceramah popular, Ustaz Ebit Lew hari ini mengunjungi keluarga Allahyarham Siti Nur Surya Ismail, 19, di Kampung Lubok Batu, Telemong, Kuala Berang, Terengganu.
Katanya, ketibaannya di rumah Allahyarham disambut bapanya yang terus datang memeluknya dan menangis.
“Sayu pilu sangat rasa hati perginya adik Siti Nur Surya. Sampai sahaja rumah mereka, ayahnya terus datang peluk saya menangis.
“Terharu ustaz hadir ke sini. Saya pun tak tahan rasa sedih. Ya Allah. Saya tak dapat lupa ustaz. Air mata asyik mengalir sahaja cerita tentang arwah. Arwah anak baik,” katanya di laman Facebook di sini hari ini.
Ebit berkata, Ismail memaklumkan kepadanya bahawa Allahyarham menjaga ibunya yang terlantar akibat sakit kanser sejak menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Boleh urus seorang diri dibantu adik perempuannya tingkatan tiga. Sanggup korban belajar sebab nak jaga mak dekat rumah. Mandikan dan uruskan maknya sentiasa.
“Maknya kenal saya. Katanya selalu tengok saya walau dalam keadaan tak sihat. Beratnya ujian mereka,” katanya.
Menurutnya, dia sempat berkongsi kisah Nabi Yakob yang kehilangan Nabi Yusuf serta kisah Nabi Muhammad kepada keluarga Ismail dan ahli keluarganya.
“Dapat berdoa bersama semua ahli keluarga. Saya beri sedikit sumbangan. Semoga Allah beri kekuatan buat seluruh ahli keluarga,” katanya. – K! ONLINE