fbpx

Bekas suami Ziana Zain merayu ketepi hukuman penjara 8 bulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mahkamah Shah Alam.

KUALA LUMPUR – Bekas suami penyanyi Ziana Zain, Armin Zaharin Ahmad Zambri memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara lapan bulan yang dijatuhkan Mahkamah Majistret Shah Alam 28 September lalu.

Peguam Amir Farid Mohd Nawawi yang mewakili Armin Zaharin, 55, ketika dihubungi berkata, rayuan itu difailkan pada tarikh sama anak guamnya dijatuhkan hukuman.

Beliau berkata, sepatutnya hari ini ditetapkan pengurusan kes di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Nur Azizah Jaafar, namun ditangguhkan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya yang dijadualkan sehingga 9 November ini.

Berikutan itu, beliau berkata, mahkamah menetapkan tarikh pengurusan kes yang baharu di hadapan penolong pendaftar sama pada 19 November ini.

Menurut Amir Farid, anak guamnya ketika membela diri tidak menafikan telah merotan anaknya namun bukan dengan niat untuk mencederakan tetapi niat untuk mengajar membaca Al-Quran.

“Selain itu, pihak pembelaan juga menekankan mengenai accidental consequence (tidak di sengajakan) di mana semasa hendak merotan, anak guam saya minta anaknya menadah tapak tangan tetapi sebaliknya apabila anaknya telah mengalih tangan menyebabkan bahagian lain tangannya yang terkena rotan,” katanya.

Dalam pada itu, peguam itu turut memberitahu, pihaknya sebelum ini turut memfailkan semakan di Mahkamah Tinggi berhubung syarat jaminan yang ditetapkan oleh Mahkamah Majistret, iaitu anak guamnya dilarang berjumpa dengan anak-anaknya sepanjang perbicaraan kes.

Bagaimanapun, mahkamah tinggi kemudian membenarkan permohonan pihaknya dan mengubah syarat yang ditetapkan oleh majistret itu.

Pada 28 September lalu, Majistret Sabreena Bakar @ Bahari menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan terhadap Armin Zaharin selepas dia didapati bersalah sengaja menyebabkan kecederaan luka dan lebam di bahagian tangan anak lelakinya berumur 9 tahun (ketika kejadian) menggunakan sebatang rotan.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Denai Alam, Shah Alam, antara pukul 8 malam hingga 10.30 malam pada 24 Februari 2018.

Berikutan itu Armin Zaharin didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Sabreena bagaimanapun membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman  sehingga selesai proses rayuan, namun menaikkan jumlah jaminan daripada RM5,000 kepada RM8,000.

Dalam perbicaraan itu seramai 10 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan termasuk mangsa manakala pembelaan mengemukakan seorang saksi iaitu Armin Zaharin.

Armin Zaharin yang juga bekas pramugara ditangkap pada 2 Mac 2018, selepas Ziana, 52, atau nama sebenarnya Siti Roziana Zin membuat laporan polis pada 27 Februari 2018.

Ziana yang popular dengan lagu Puncak Kasih itu memfailkan tuntutan perceraian pada 3 April 2018, selepas Armin Zaharin enggan melafazkan cerai terhadapnya.

Ziana dan Armin Zaharin bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam pada 12 Julai 2018. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI