KUALA LUMPUR – Wasiyyah Shoppe Bhd. (Wasiyyah Shoppe) mengunjurkan produk baharunya yang dipertingkatkan, Al Mutahabbah bakal menyumbang sehingga 20 peratus kepada hasil jualan syarikat bagi tahun kewangan berakhir Jun 2021.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ariffin Sabirin berkata, misi tersebut mampu dicapai memandangkan produk berkenaan mampu memenuhi permintaan pelanggan pada masa sekarang.
Menurutnya, segmen pasaran ini berkembang dengan drastik semenjak beberapa tahun kebelakangan ini seiring dengan peningkatan maklumat dan pengetahuan serta kesedaran masyarakat terhadap isu harta yang boleh dilabur dan dikembangkan supaya memberi manfaat kepada generasi masa depan.
“Masyarakat juga mahu supaya hasil daripada harta ini boleh digunakan bagi tujuan amal jariah berpanjangan selepas mereka meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam.
Ariffin menjelaskan, Al Mutahabbah telah diperkenalkan sejak tahun 2018 namun dengan perkembangan semasa, ia diperkemaskan lagi dengan pengenalan beberapa ciri yang lebih menarik dan fleksibel namun lebih berkuat kuasa dari segi undang-undang.
“Al Mutahabbah ialah perkhidmatan bersifat hibrid yang dibangunkan khusus untuk segmen pasaran yang bukan sahaja mahukan harta diagihkan kepada pihak yang dikehendaki, malah segmen pasaran ini juga inginkan sebahagian harta diurus dan dilaburkan secara profesional.
“Produk ini menggabungkan unsur perancangan harta mengikut undang-undang syariah, undang-undang sivil serta metodologi pengurusan harta kontemporari dan profesional berlandaskan undang-undang berkenaan,” ujarnya.
Tambah Ariffin, metodologi kebanyakan pemain pasaran di Malaysia ketika ini masih lagi mengenai bagaimana harta pelanggan diagihkan mengikut instrumen seperti hibah, wasiat, harta sepencarian atau amanah.
“Kami mengorak langkah berani dengan memenuhi keperluan unik segmen pasaran ini yang belum diterokai oleh mana-mana pihak di Malaysia sebelum ini,” ujarnya.