PUTRAJAYA – Sebanyak 56 institusi pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di seluruh daerah Barat Daya, Pulau Pinang akan ditutup mulai 6 November sehingga 20 November ini.
KPM dalam kenyataan akhbar berkata, penutupan institusi itu susulan peningkatan kes positif Covid-19 di daerah Barat Daya dan disahkan sebagai zon merah oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Menurutnya, bilangan institusi yang ditutup merangkumi sekolah rendah dan menengah di bawah KPM, Kolej Vokasional serta sekolah swasta yang berdaftar dengan KPM.
“Ia juga dibuat selaras perutusan Perdana Menteri pada 6 Oktober lalu berhubung keputusan kerajaan untuk menutup sekolah di kawasan-kawasan yang disahkan zon merah oleh KKM.
“Senarai institusi lain yang ditutup akan dikemaskini dari semasa ke semasa dan akan dimuat naik di portal KPM di www.moe.gov.my dan di platform media sosial rasmi KPM,” katanya.
Katanya, sekolah dan institusi yang mempunyai asrama juga ditutup dan ibu bapa atau penjaga perlu mengambil murid atau pelajar yang tinggal di asrama tersebut untuk pulang.
Menurutnya, murid atau pelajar yang menunggu untuk diambil ibu bapa atau murid yang ingin terus kekal berada di asrama sekolah atau institusi sepanjang tempoh penutupan akan berada di bawah penjagaan warden asrama.
“Keperluan makan dan minum murid sepanjang tempoh tersebut akan disediakan oleh pihak sekolah dan institusi.
“Bagi murid-murid yang perlu menduduki peperiksaan antarabangsa seperti yang telah dijadualkan sepanjang tempoh penutupan institusi pendidikan, mereka hendaklah mendapatkan surat dari sekolah masing-masing untuk menghadiri peperiksaan,” katanya.
Katanya, sepanjang tempoh penutupan tersebut, pentadbir sekolah serta semua institusi pendidikan diarah untuk memastikan guru-guru, tenaga pengajar serta murid dan pelajar melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah.
Jelasnya, manual pengajaran dan pembelajaran di rumah boleh dimuat turun di portal rasmi KPM www.moe.gov.my.
Dalam pada itu, KPM sentiasa memantau situasi di seluruh negara serta sentiasa bekerjasama dengan Majlis Keselamatan Negara dan KKM.
Malah, katanya, sebarang pemakluman berhubung penutupan sekolah dan institusi akan dibuat dari semasa ke semasa. – K! ONLINE