KESUNGGUHAN beberapa pesara yang berkebun secara kecil-kecilan membuahkan hasil selepas tanaman buah rock melon atau tembikai wangi yang diusahakan di Kebun Komuniti 4 (KK4) di Presint 14, Putrajaya mendapat sambutan menggalakkan daripada komuniti setempat.
Pengerusi KK4, Burhanuddin Mohd. Ghazali berkata, dia bersama tiga orang rakan lain mula bercucuk tanam di sebuah kawasan terbiar berhampiran kawasan perumahan mereka sejak 2016.
Bekas jurutera itu berkata, pada peringkat awal, tanaman diusahakan dalam skala kecil, namun setelah melihatkan sambutan penghuni sekitar Presint 14, Perbadanan Putrajaya (PPj) telah mengambil inisiatif mewujudkan KK4 di bawah Program Bumi Hijau pada tahun 2018.
“Asalnya sekitar tahun 2016, kami menanam sayur-sayuran dan ulam-ulaman untuk kegunaan sendiri dan jiran-jiran sahaja sebelum PPj mengiktiraf kawasan yang diusahakan itu sebagai kebun komuniti KK4 ini pada tahun 2018.
“Pada awalnya memang agak mencabar kerana kami tidak mempunyai pengalaman dalam bidang pertanian, namun atas dasar minat, kami mempelajari teknik tanaman menggunakan sistem fertigasi,” katanya kepada K2 baru-baru ini.
Program Bumi Hijau adalah kesinambungan Kempen Bumi Hijau peringkat kebangsaan yang telah disempurnakan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2006.
Pelaksanaan secara bersama dengan PPj itu membuka ruang kepada penduduk setempat Putrajaya menjana pendapatan sampingan apabila masing-masing mula mengamalkan pertanian bandar di kawasan kediaman.
Kini terdapat empat kebun komuniti di Putrajaya meliputi Kebun Komuniti 1 di Taman Rimba Desa Presint 9, Kebun Komuniti 2 di Presint 8, Kebun Komuniti 3 di Presint 9 dan Kebun Komuniti 4 di Presint 14.
Keempat-empat kebun komuniti ini memfokuskan tanaman tembikai wangi sebagai tanaman utama.
Burhanuddin berkata, KK4 yang mempunyai keluasan 609 meter persegi itu kini diusahakan puluhan penduduk.
Antara tembikai wangi yang diusahakan di KK4 ialah jenis canary melon yang kulitnya berwarna kuning.
“Memandangkan tempoh matang pokok ini antara 60 hingga 70 hari, kami turut mempelbagaikan tanaman seperti serai, tomato ceri, kacang panjang, bendi, bayam, pucuk ubi dan terbaharu cendawan bagi memastikan kebun dimanfaatkan sepenuhnya,” ujarnya.
Tambahnya, harga jualan tembikai wangi KK4 lebih rendah iaitu RM7.50 sekilogram berbanding harga pasaran mencecah RM9.50 sekilogram.
Pada masa sama, pihaknya turut memberikan tunjuk ajar kepada pelanggan yang berminat selain turut menjual anak-anak pokok, baja dan keperluan berkebun bagi menggalakkan aktiviti berkebun.
“Buat masa ini, KK4 mempunyai 30 ahli berdaftar dengan 10 ahli aktif yang terdiri daripada pesara tentera, bekas guru, suri rumah selain individu yang masih bekerja. Mana-mana ahli yang berkelapangan akan datang ke kebun selepas waktu pejabat atau pada hujung minggu untuk memastikan KK4 terus memberi pulangan kepada komuniti setempat,” katanya.
Sementara itu, seorang pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Shuhairy Shuhaimi, 53, berkata, dengan adanya KK4, komuniti setempat berpeluang berbakti kepada tanah di samping mempelajari selok-belok pertanian.