PADA 16 Mei 1992, Malaysia rangkul Piala Thomas buat pertama kali dalam tempoh 25 tahun selepas tundukkan Indonesia 3-2.
28 Disember 2010, Malaysia muncul juara bola sepak Piala AFF buat pertama kali selepas tewaskan Indonesia 4-2 dan dan pada 19 Ogos 2016, Datuk Lee Chong Wei mara ke final badminton Sukan Olimpik selepas tumbangkan Lin Dan 15-21, 21-11, 22-20.
Tiga situasi ini antara kisah-kisah indah yang pernah membuatkan jutaan rakyat Malaysia gembira. Ketika itu, jurang perbezaan antara budaya, agama, bangsa selain pangkat dan ideologi politik diketepikan.
Semua bersorak kegembiraan. Ada juga air mata yang mengalir sebagai tanda sayangkan Malaysia.
Kini, pada tahun 2020, iaitu tahun yang sangat-sangat diimpikan oleh rakyat Malaysia, kisah itu tidak lagi berlaku. Apa yang ada, hanyalah kisah duka, kisah marah dan kisah ‘pemberontakan jiwa’ seseorang bernama rakyat Malaysia.
Semua orang terkesan dengan situasi semasa yang membelenggu seluruh dunia kesan penularan wabak Covid-19. Yang kaya akan cuba bertahan untuk kekal kaya, manakala yang miskin akan terus bertahan untuk kekal bernafas.
Namun, di satu sisi, ada pula cerita bagi golongan yang menggelar diri mereka ahli politik (orang politik). Sinopsisnya sama, iaitu yang berkuasa mahu terus berkuasa, sedangkan yang kurang berkuasa akan terus mencari helah untuk nampak berkuasa.
Setiap saat digunakan oleh kelompok ini untuk nampak berkuasa. Tidak cukup dengan mesyuarat dari pagi sampai ke larut malam, platform media sosial turut menjadi senjata propaganda.
Masing-masing mengeluarkan ‘idea’ kononnya demi rakyat.
Bagaimanapun, asbab kerakusan bermain politik inilah yang membuatkan rakyat semakin muak. Yang dikurung adalah rakyat dan yang dilarang ke sana-sini juga adalah rakyat. Penjaja jalanan hilang pelanggan, bisnes runcit sunyi sepi dan penyedia perkhidmatan terpaksa gulung tikar.
Paling menyedihkan adalah kisah-kisah kematian akibat tekanan hidup selain cerita runtuhnya struktur sosial dan rumah tangga kesan kegawatan ekonomi.
Banyak sangat dugaan yang terpaksa ditempuh oleh seorang rakyat. Namun akhirnya, rakyat tetap akur, tetap ikut arahan dan tetap beratur melalui setiap sekatan jalan raya.
Pada Jumaat ini, lebih 32 juta rakyat Malaysia akan menantikan sesuatu daripada Belanjawan 2021. Jika pemain politik boleh bersabar untuk dapatkan kuasa di Parlimen, rakyat juga sebenarnya telah banyak bersabar untuk mendapatkan hak seorang rakyat.
Mungkin tidak banyak yang diharapkan daripada Belanjawan kali ini, melainkan sedikit berita gembira yang boleh membuatkan rakyat tersenyum.
Sekurang-kurangnya, si ibu boleh memikirkan soal apa yang ingin dimakan pada esok hari dan si bapa pula boleh tenang mencari rezeki demi perut anak-anak.
Tapi jangan juga lupa pada mereka yang digelar ‘Barisan Hadapan’. Biarpun majoritinya bergaji tetap, namun khidmat mereka kepada rakyat tiada galang gantinya. Berikanlah sedikit kegembiraan buat mereka.