KLANG – Kegiatan sindiket judi bola sepak antarabangsa didalangi warga Korea sejak awal tahun ini tumpas apabila dicekup dalam dua serbuan berasingan di kawasan perumahan elit di Taman Botanic di sini baru-baru ini.
Dalam serbuan pukul 9 malam itu pada Sabtu lalu, seramai 15 lelaki asing tersebut berusia 22 hingga 33 tahun diberkas menerusi Ops Dadu.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, siasatan mendapati pertaruhan ditawarkan sindiket itu melibatkan perlawanan liga bola sepak Inggeris, Sepanyol dan Korea.
Katanya, semasa serbuan dilakukan didapati kesemua suspek sedang leka menjalankan urusan pertaruhan.
“Sindiket itu didapati menyewa rumah teres tiga tingkat di kawasan hujung perumahan tersebut, manakala laluan memasuki taman perumahan itu dikawal pengawal keselamatan.
“Hasil serbuan merampas 11 set komputer, 22 telefon bimbit dan pelbagai alat komunikasi yang digunakan sindiket bagi kegiatan haram tersebut,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Kata beliau, semakan mendapati kesemua lelaki warga Korea tersebut mempunyai dokumen perjalanan diri yang sah.
Ujar Shamsul Amar, pihaknya masih menyiasat nilai sebenar pertaruhan dan sasaran utama pihak yang menyertai aktiviti itu.
“Mereka kini direman selama 14 hari sehingga 14 November depan bagi membantu siasatan,” katanya.
Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 6 (3) Akta Pertaruhan 1953. -K!ONLINE