Oleh ISWAN SHAFIQ ISA
SEBERANG PERAI – Generasi muda hari ini mungkin tidak begitu mengenali halwa maskat, iaitu sejenis hidangan tradisional yang dulunya amat sinonim dengan masyarakat di sebelah utara dan selatan tanah air.
Sering disamakan dengan manisan Turki, Turkish Delight, hidangan yang dipercayai berasal dari bandar Muscat, Oman itu semakin tenggelam dek dibanjiri puluhan jenis kuih moden dan tradisional lain.
Pun begitu, di Pulau Pinang umpamanya, masih terdapat sebilangan pengusaha kecil yang menjalankan perniagaan makanan berbentuk manisan itu secara sepenuh masa menggunakan kaedah lama.
Salah seorang daripada mereka ialah Rohani Ismail, 70, yang telah mengusahakan produk makanan itu di bawah jenama Halwa Maskat Utara sejak lebih 30 tahun lalu di Kampung Padang Lalang, Simpang Ampat di sini.
Ia dihasilkan berpandukan resipi tradisi yang tidak pernah diubah sejak turun-temurun yang diperturunkan kepada arwah suaminya, Abu Seman Darus.
Tepung yang digunakan misalnya, diuli terlebih dahulu dan dibasuh untuk dibuang ‘getah’, manakala air peraman atau basuhannya pula akan ditukar sebanyak tiga kali sebelum dimasak.
“Dahulu, kami jual kuih ini hanya pada musim perayaan atau berdasarkan tempahan hantaran dan majlis tertentu, namun kini ia dijual sepanjang masa,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Jelas Rohani, dia dengan bantuan ahli keluarga mampu menghasilkan sehingga 26 kilogram halwa maskat sehari yang dijual pada harga RM18 untuk 500 gram.
Ibu kepada tujuh cahaya mata itu memberitahu, secara purata dia mampu menjual sehingga 50 kotak sehari, namun jumlah tersebut berkurangan ketika luar musim perayaan selain akibat penularan pandemik Covid-19 ketika ini.
“Selain menerima tempahan, ia dijual di pasar selain secara online terutamanya di Shopee,” katanya yang pernah menerima tempahan daripada pelanggan sejauh Brunei Darussalam.
Rohani berkata, impiannya ketika ini ialah memiliki sebuah mesin untuk mengacau adunan halwa maskat yang membolehkan kapasiti pengeluaran ditingkatkan sehingga dua kali ganda berbanding sekarang.
Pelanggan boleh melayari Facebook Halwa Maskat Utara atau menghubungi talian 019-948 2258.