PETALING JAYA – Jumlah keseluruhan jualan jentera Proton mencatatkan jualan keseluruhan sebanyak 11,392 unit kenderaan bagi bulan Oktober, peningkatan sebanyak 20 peratus berbanding bulan sama tahun lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Proton EDAR, Roslan Abdullah berkata, jumlah tersebut bagaimanapun merupakan penurunan sebanyak 4.6 peratus berbanding September lalu.
Katanya, sebanyak 84,999 unit telah dijual secara keseluruhan bagi tahun 2020, penambahan sebanyak 6.2 peratus berbanding tahun lepas, pegangan pasaran dianggarkan mencapai 21.3 peratus.
“Walaupun jualan pada bulan Oktober menurun berbanding dengan bulan lepas, tiga model Proton masih lagi mendahului segmen mereka.
Proton Persona yang menghadapi sebilangan pesaing baru tahun ini tetap mendahului pasaran sedan segmen-B dengan 2,360 unit manakala Proton X70 pula telah mencapai 2,216 unit untuk kekal sebagai kenderaan utiliti sukan (SUV) terlaris di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Mengulas lanjut, Roslan berkata, Proton Exora juga kekal di hadapan pasaran MPV segmen-C, membuktikan pasaran untuk kenderaan besar yang mempunyai tujuh tempat duduk masih wujud walaupun jualan SUV semakin menambah.
“Penambahan kadar pelancaran model baru dan jumlah jualan bulan Oktober adalah antara tanda pemulihan pasaran automotif Malaysia.
“Kami menganggarkan Jumlah Pengeluaran Keseluruhan Industri (TIV) bulan ini akan melebihi 57,000 unit, jumlah kedua tertinggi bagi tahun 2020 dan ini bukti ketara pemulihan industri,” katanya. – K! ONLINE