HULU TERENGGANU – Penantian 234 pembeli projek Perumahan Padang Setengge di sini yang terbengkalai sejak 10 tahun lalu akhirnya bakal berakhir tidak lama lagi.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Terengganu, Dr. Alias Razak berkata, kerja-kerja pembinaan projek perumahan tersebut yang dipulihkan semula itu dijangka siap dalam masa terdekat.
“Berdasarkan laporan kemajuan projek, fasa ketiga dan keempat projek Perumahan Padang Setengge yang terbengkalai akibat masalah pemaju terdahulu sebelum ini masing-masing sudah siap 99 peratus dan 77 peratus.
“Ia sekali gus bakal menamatkan penantian 234 pembeli untuk mendiami kediaman sendiri yang dinanti-nanti sekian lama,” katanya selepas memantau perkembangan projek tersebut di sini hari ini.
Alias berkata, kos pemulihan Perumahan Padang Setengge berkenaan mencecah RM10 juta.
Beliau menjelaskan, kesemua kos itu yang ditanggung kerajaan negeri Terengganu menerusi Lembaga Tabung Amanah Warisan tanpa sebarang kos tambahan dikenakan terhadap pembeli.
“Saya optimis projek perumahan itu bakal siap mengikut jadual ditetapkan walaupun kita sekarang ini berdepan dengan kekangan pandemik Covid-19,” katanya. – K! ONLINE