fbpx

Polis rampas dadah, senjata di pusat hiburan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
CHE ZAMANI (kiri) bersama Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Azhar Hashim menunjukkan sebahagian dadah dan senjata yang dirampas dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Kulim semalam.

KULIM – Polis merampas sejumlah dadah bernilai RM12,954 serta senjata termasuk senapang tiruan dan pedang samurai selepas menyerbu sebuah pusat hiburan di sini semalam.

Dalam serbuan kira-kira pukul 3 pagi itu, seramai lapan individu termasuk pemilik premis terdiri daripada masing-masing empat lelaki dan wanita berusia antara 35 hingga 51 tahun ditahan.

Serbuan dilakukan sepasukan polis dari Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah.

Ketua JPJKK negeri, Senior Asisten Komisioner Che Zamani Che Awang berkata, serbuan dilakukan susulan aduan tentang premis itu yang didakwa beroperasi pada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Ketika serbuan dilakukan, pusat hiburan tersebut didapati beroperasi tetapi pelanggannya dipercayai telah melarikan diri,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim di sini hari ini.

Kata beliau, hasil pemeriksaan, polis menemui empat lelaki dan seorang wanita tempatan selain dua wanita Thailand dan seorang wanita Vietnam.

“Pemeriksaan di sekitar pusat hiburan itu menemui 12 papan mengandungi 110 biji pil eramin 5 seberat 27.30 gram.

“Kita juga menjumpai dua peket lutsinar berisi 10 biji pil disyaki dadah jenis ekstasi dan 22 peket hijau serbuk minuman jus dipercayai bercampur dadah seberat 935 gram,” ujarnya.

Menurut Che Zamani, selain itu, turut ditemui 13 peket dipercayai mengandungi serbuk minuman jus bercampur dadah seberat 399 gram.

“Dalam serbuan itu juga kita menemui sepucuk senapang tiruan, sebatang kayu besbol dan rotan, sebilah pedang samurai dan tiga bilah parang panjang di atas premis terbabit yang dipercayai mempunyai elemen kongsi gelap,” katanya

Tambahnya, pihaknya turut merampas jam tangan jenama Rolex, wang tunai RM6,451, seutas gelang tangan berwarna kuning dan sebuah kereta jenis BMW 5 siri yang bernilai RM141,153.

“Kes antaranya disiasat mengikut Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 7(1) Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958, Seksyen 36 Akta Senjata 1960, Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan Seksyen 6 (2) Enakmen Hiburan Kedah 1997,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI