PUTRAJAYA – Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga arwah Alias Abu, 56, anggota bomba dan penyelamat Sabah yang meninggal dunia akibat Covid-19, semalam.
Zuraida berkata, pemergian arwah adalah satu kehilangan besar buat keluarga Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Menurutnya, arwah selama ini tanpa mengenal erti penat dan lelah terbabit secara langsung dalam melakukan operasi sanitasi awam, dalam usaha negara mengekang penularan wabak Covid-19.
“Pemergiannya disifatkan suatu kehilangan besar buat Ibu Pejabat Bomba dan Penyelamat Malaysia negeri Sabah.
“Saya mendoakan ahli keluarga, sanak saudara dan sahabat handai serta seluruh anggota Bomba tabah dan sabar dengan ujian yang menimpa ini.
“Marilah kita mendoakan semoga roh arwah Alias Abu dicucuri rahmat dan diberikan kebaikan atas amal yang soleh serta ditempatkan bersama para syuhada’,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Arwah Alias yang juga Ketua Cawangan Operasi Kebombaan Ibu Pejabat JBPM Sabah disahkan meninggal dunia kira-kira jam 9.15 pagi semalam akibat Covid-19 di Hospital Queen Elizabeth (HQE)
Jenazah arwah Alias dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Kuala, Papar, petang semalam.
Difahamkan, arwah bersama 15 pegawai bomba lain disahkan positif Covid-19 pada 16 Oktober lalu selepas menjalani ujian saringan.
Arwah meninggalkan seorang balu dan lima orang anak. – K! ONLINE