KUALA LUMPUR – Penyanyi dan pelakon Nabila Razali terkilan kerana dituduh menjual diri semata-mata untuk mendapatkan tawaran berlakon dan nyanyian.
Menurut Nabila atau nama sebenarnya Nur Nabila Mohd. Razali, 28, tohmahan yang dilemparkan oleh seorang netizen dalam media sosial baru-baru ini membuatkan dirinya sedih dan kecewa.
“Saya terkilan dan kecewa sewaktu terima mesej negatif dengan menuduh saya menjual diri untuk mendapatkan pekerjaan.
“Ketika mendapat mesej itu, saya berada di set penggambaran sebuah drama. Seronok sebab masih ditawarkan bekerja ketika pandemik tetapi bila dapat tohmahan seperti itu, memang sangat kecewa,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Bagaimanapun, pelantun lagu Peluang Kedua itu berkata, mesej negatif tersebut bukanlah pertama kali diterimanya.
“Mesej negatif tersebut sebenarnya bukan isu baru tetapi kali ini yang paling teruk dan membuatkan saya rasa sedih.
“Macam saya katakan, saya tidak pernah mempertikaikan rezeki orang lain, malah saya bekerja keras untuk sampai ke tahap ini.
“Kata-kata kesat yang dilemparkan sangat tidak boleh diterima oleh mana-mana individu pun sebenarnya. Saya dan pihak pengurusan juga hanya buat kerja kami, tidak pernah pun menganggu sesiapa dalam industri,” ujarnya.
Tambah pelakon Kebaya Kasut Kanvas itu, dia juga bersyukur kerana ramai yang memberi kata-kata semangat dan sokongan mengenai perkara tersebut.
“Ramai yang mesej beri kata-kata semangat dan meminta saya mengabaikan semua mesej negatif tersebut.
“Tipulah kalau saya katakan tidak terkesan dengan mesej kecaman dan ugutan itu kerana saya juga manusia biasa.
“Apapun, saya harap tiada lagi komen sebegini pada masa depan dan ingin meminta maaf sekiranya ada menggores hati mana-mana pihak sepanjang saya berada dalam industri,” katanya lagi.
Terdahulu, Nabila memuat naik foto tangkap layar beberapa mesej daripada individu yang tidak bertanggungjawab dalam Instagramnya semalam.
Foto tersebut memaparkan individu itu menggelar Nabila dengan perkataan b**i dan su*d*l.
Malah, lebih teruk, individu itu turut menuduh Nabila menjual diri semata-mata untuk mendapatkan tawaran berlakon dan nyanyian.
Individu berkenaan juga turut mendoakan kematian penyanyi lagu Pematah Hati itu.